Kemiskinan Spiritual
Kemiskinan Spiritual: Sebuah Kisah tentang Iman dan Kesedaran
Pernah kita dengar pepatah lama yang berbunyi, “Kemiskinan mendekati kekufuran.” Malam ini, entah mengapa hati rasa berat, mata enggan terlelap, dan fikiran mula mengembara jauh. Aku teringat akan sebuah kisah tentang kemiskinan, bukan kemiskinan harta yang sering kali kita bicarakan, tetapi kemiskinan yang lebih dalam dan sunyi — kemiskinan spiritual, kemiskinan iman.
Pernahkah kita merasa, saat kesedihan menguasai hati, kita mula mempersoalkan takdir? Hati memberontak, mengadu seakan tidak puas, bertanya, “Mengapa semua ini harus terjadi padaku? Mengapa bukan orang lain?” Dulu, seorang lelaki pernah berkongsi cerita. Dia sanggup bekerja keras, biar penat, biar dimarah, asalkan dapat meraih pendapatan yang besar. Dalam diam, dia mengejar impian, dan akhirnya berjaya juga. Dia memperoleh pekerjaan dengan gaji yang jauh lebih tinggi daripada kawan-kawannya.
Namun, lama-kelamaan, beban kerja mula menekan. Hari-harinya terasa kelam, seperti dibelenggu oleh sesuatu yang berat dan menyakitkan. Hidupnya mula kehilangan arah. Beban tanggungjawab semakin menggoncang, dan prestasi kerjanya mula menurun sehingga akhirnya menarik perhatian pengurusnya. Itu menambahkan lagi tekanan yang sudah sedia menghimpit. Ingin berhenti kerja, tetapi kontrak masih mengikat. Bil-bil, keperluan harian, keinginan untuk terus bertahan, semuanya menjadi beban yang perlu difikirkan.
Di saat-saat seperti itu, barulah dia tersedar. Duit yang selama ini dikejarnya, tidak mampu membeli ketenangan. Kesihatan mentalnya semakin rapuh, dan dalam keperitan itu, dia mula menyalahkan takdir. Hatinya resah, bertanya, “Mengapa Tuhan membiarkan aku seperti ini?” Setiap pagi dia bangun dengan hati yang kosong, seakan tidak ingin membuka mata. Sebelum sarapan, kegelisahan menyelubungi diri, “Hari ini, apakah kesalahan yang akan aku lakukan? Pastinya aku akan dimarahi lagi di pejabat.”
Solatnya hanya sebagai pelengkap rutin, tanpa jiwa, tanpa pengharapan. Setelah selesai, jarang sekali dia menadah tangan memohon kemudahan daripada Yang Maha Esa. Baginya, dunia ini seakan tiada harapan lagi. Dia hidup hanya kerana masih bernafas. Setiap hari yang dilalui hanya berlalu dengan kehampaan, dan cahayanya seakan pudar. Gelak tawanya palsu, hanya untuk menutup luka yang makin parah. Dia semakin lemah, dan imannya mula goyah.
Setiap kali menaiki tren menuju ke pejabat, ada satu fikiran yang sering datang tanpa diundang — fikiran tentang "itu." Dalam kealpaan, dia tidak sedar bahawa dirinya sudah kufur nikmat. Nikmat hidup, nikmat bernafas, nikmat waktu yang Tuhan kurniakan. Nikmat nyawa yang masih ada untuk dia memohon keampunan, untuk dia kembali mencari ketenangan.
Sampailah satu hari, tular berita tentang seorang lelaki yang mengambil nyawanya sendiri dengan melangkahi kawasan larangan di landasan tren. Orang ramai marah, mengeluh, “Hidup sudah menyusahkan orang, mati pun mahu menyusahkan orang lagi.”
Saat dia membaca berita itu, hati terasa bagai disentap. Seolah-olah Tuhan menegur, tetapi dengan penuh kelembutan dan kasih sayang. Tuhan masih menyayanginya, masih memberinya peluang, masih memberikan masa untuknya tersedar dari kegelapan. Tuhan Maha Mendengar, Maha Mengetahui. Tetapi dia, dalam kelalaian, tidak menyedari. Tidak nampak betapa banyaknya nikmat yang masih tersisa dalam hidupnya. Tubuhnya masih sihat, makan pakai masih cukup, tempat tinggalnya selesa. Walaupun dia sering rasa tersisih, masih ada rakan-rakan yang sudi mendengar, yang sudi menjadi tempat untuk berkongsi cerita. Walaupun sering menangis, sekurang-kurangnya dia masih boleh menangis di atas bantal yang empuk, di dalam bilik yang hangat.
Dalam proses mencari ketenangan, dia akhirnya tersedar — siapa dia untuk mempersoalkan ketetapan Tuhan? Apa yang telah Tuhan tentukan, itulah yang terbaik buatnya. Hidup di dunia ini, bukan untuk mengumpul kekayaan, tetapi untuk mencari keredhaan Tuhan. Dia mula belajar menerima ujian dengan hati yang terbuka. Memang bukan mudah, tetapi dia tahu, hanya itu penawarnya.
Setiap kali fikiran kelam datang, cepat-cepat dia istighfar, mengucap, mencari sejadah, dan bersujud memohon ampun. Tuhan Maha Pemaaf, Tuhan Maha Penyayang.
Jadi, pesan dia, dan mungkin ini juga pesan untuk kita semua — jika iman tidak cukup kuat, tidak perlulah kita terlalu berhempas-pulas mengejar dunia yang sementara. Cukuplah kita tahu batas dan kemampuan kita. Hidup dalam kesederhanaan pun sudah memadai, asalkan hati tenang dan jiwa tenteram. Sesungguhnya, kita di dunia ini hanyalah musafir. Apa yang kita kejar bukanlah gaji yang tinggi atau pangkat yang megah, tetapi ketenangan hati, dan rahmat Ilahi yang abadi.
Comments
Post a Comment